Wednesday 8 August 2012

Ulasan Permata sastera Melayu ( PANTUN )


Ulasan Permata sastera Melayu

Pantun

1.1 Pantun Budi

Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi yang baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.


Jenis Pantun   : Pantun empat kerat
Tema Pantun  : Pantun budi

Ciri-ciri puisi tradisional

1.      Jumlah baris serangkap
Empat baris serangkap

2.      Pembayang maksud.
Separuh baris yang awal adalah pembayang maksud.

3.      Maksud pantun
Separuh baris yang akhir merupakan maksud pantun.

4.      Jeda.
Terdapat hentian sebentar di tengah-tengah baris yang dekenali sebagai jeda.

Contoh: Pulau pandan / jauh ketengah.


5.      Jumlah perkataan sebaris.

6.      Jumlah sukukata sebaris.



Kepentingan pantun  budi kepada sarwajagat masyarakat melayu tradisional

1.      Komunikasi.
Pantun di atas boleh digunakan ketika berucap di hadapan khalayak ramai. Biasanya sebagai bahasa pengucapan para pemimpin masyarakat. Pantun di atas mampu menyampaikan mesej yang berguna kepada pendengarnya. Pendengar akan faham permintaan dan harapan seseorang pengucap pantun. Malah pantun itu mampu mengungkapkan rasa terimakasih yang tidak terhingga kepada orang yang telah “berbudi”.

2.      Nasihat.
Pantun di atas mampu memberikan nasihat kepada seseorang untuk melakukan kebaikan dengan berbudi kepada orang lain. Malah ia juga menasihatkan seseorang yang telah menerima budi agar sentiasa mengenang dan menyanjung pihak yang telah berbudi kepada dirinya.

3.      Pengajaran.
Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal dunia.

4.      Gambaran masyarakat.
Gambaran amalan berbudi dapat dilihat dalam kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka.

5.      Motivasi supaya berkelakuan baik.
Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai.

6.      Budaya sopan santun.
Gaya bahasa pantun yang menarik sebenarnya menggalakkan seseorang menasihat dan menyampaian mesej secara bersopan santun. Keindahan penggunaan pembayang maksud yang menarik dan disertai dengan mesej pantun tentunya akan menjurus seseorang yang mendengar pantun rasa terdorong untuk berbudi dan menghargai budi orang lain.

7.      Adat istiadat.
Penggunaan pantun di atas sangat sesuai digunakan dalam majlis-majlis tertentu dan ketika menjalankan adat istiadat. Orang melayu sangat mementingkan pengucapan yang tersusun untuk menyampaikan hasrat dan meluahkan perasaan mereka.


8.      Hiburan.
Kadangkala pantun di atas boleh digunakan ketika melagukan sesuatu irama yang diiringi dengan bunyi-bunyian seperti gendang dan tiupan serunai. Selain memberi nasihat, pada masa yang sama mampu menghibur khalayak melalui keindahan susunan kata dan maksud puisi.


Aspek Estetik Pantun.

Estetika adalah salah satu cabang falsafah. Secara sederhana, estetika adalah ilmu yang membahas keindahan, bagaimana ia boleh terbentuk, dan bagaimana seseorang boleh merasakannya. Pembahasan lebih lanjut mengenai estetika adalah sebuah falsafah yang mempelajari nilai-nilai sensoris (perasaan), yang kadang dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan rasa. Estetika merupakan cabang yang sangat dekat dengan filosofi seni.

Esetetika berasal dari Bahasa Yunani iaitu  aisthetike. Pertama kali digunakan oleh filasuf Alexander Gottlieb Baumgarten pada 1735 untuk pengertian ilmu tentang hal yang boleh dirasakan melalui perasaan.
Pada masa kini estetika boleh berarti tiga perkara iaitu:
1. Kajian mengenai fenomena estetik
2. Kajian mengenai fenomena persepsi (tanggapan)
3. Kajian mengenai seni sebagai hasil pengalaman estetik


Setelah memahami maksud estetik maka berikut adalah rumusan aspek estetik bagi pantun budi secara umum.


1.      Keindahan pemilihan kata.
Aspek utama nilai estetik pantun ialah pemilihan kata yang tepat. Perkataan yang wujud dalam pantun sangat menepati maksud dan tujuan puisi dicipta. Contohnya perkataan “hancur badan” begitu tepat untuk memberi maksud seseorang yang sudah mati. Kematian itu pula digambarkan dengan jangka masa kematian yang sudah lama.

2.      Keindahan unsur bunyi
Kemudian diikuti dengan penggunaan rima yang tepat samada di awal, di tengah dan di akhir baris. Contoh yang jelas seperti perkataan “pandan” dan “badan” pada tengah baris. Begitu juga perkataan penggunaan perkataan “tiga” dan “juga” digunakan di akhir baris. Unsur bunyi juga wujud dalam aspek bunyi vokal dan konsonan. Ia dikenali juga sebagai asonansi dan aliterasi.

3.      Keindahan cara berkomunikasi
Penyampaian komunikasi yang menggunakan gaya bahasa yang lemah lembut dan sopan mampu menimbulkan rasa hormat kepada khalayaknya. Para pendengar akan rasa terusik dan terkesan yang mendalam kerana gaya penyampaian, pengucapan dan pemilihan kata yang menyentuh perasaan. Para penutur pantun bijak berfikir dan menggunakan pantun sebagai satu cara komunikasi yang sangat berkesan.

4.      Keindahan pengucapan yang sopan.
Seseorang yang ingin memberi nasihat perlu berhati-hati dengan pengucapan agar tidak mengguris hati dan perasaan rakan. Budaya melayu yang mengamalkan sopan santun memerlukan sesorang itu menyusun kata secara sopan dan teratur.

5.      Keindahan maksud puisi.
Maksud puisi begitu indah dan mendalam maksudnya. Khalayak akan rasa dihargai dan sentiasa bersangka baik kepada teman dan taulan. Maksud puisi ini membolehkan seseorang menerima baik nasihat, saranan dan permintaan penutur pantun. Tidak wujud rasa kecil hati dan rendah diri kerana nilai pantun ini begitu lembut ketika menyatakan tujuan pengucapan. Kefahaman terhadap maksud dapat dirasa sehingga ke dalam sanubari hati pendengar.


Pemikiran Pantun

1.      Nilai perbandingan budi.
Nilai budi tidak boleh dibandingkan dengan sebarang nilai harta dunia termasuk emas. Budi itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Budi tidak ada tukar ganti. Sesuai dengan ayat “hutang emas boleh dibayar”, maka orang yang menerima budi tetap tidak akan mampu membayarnya sekalipun dengan harta yang paling tinggi nilainya iaitu emas.

2.      Mengenang budi sehingga mati.
Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika seseorang hidup di dunia sahaja. Budi seseorang itu akan tetap dikenang walaupun dia telah mati tetap akan disebut orang. Sesuai dengan isi pantun tersebut iaitu “hancur badan dikandung tanah” yang memberi maksud sudah meninggal dunia.

3.      Menghargai budi/Rasa terhutang budi.
Bagi mereka yang telah menerima budi tentunya akan rasa terhutang budi. Penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi sehingga meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan dibawa ke mana sahaja. Hal ini merujuk kepada maksud perkataan “rasa nak junjung” dalam rangkap ketiga pantun di atas.



Nilai Kemanusiaan

1.      Manusia yang saling bergantung antara satu sama lain.
Hidup masyarakat melayu pada zaman tradisional penuh dengan kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap individu yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Budi merupakan amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.

2.      Manusia yang sentiasa mengejar harta
Masyarakat melayu tidak ketinggalan dari segi mengumpulkan harta kekayaan. Lambang kekayaan masyarakat diukur dari sudut jumlah hartanya. Harta yang dianggap paling tinggi nilainya adalah emas. Lalu perbandingan kekayaan seseorang diukur melalui jumlah emas yang mampu dimiliki oleh seseorang. Namun nilai emas tidak sama dengan nilai budi.


3.      Manusia yang boleh menilai erti budi berbanding harta.
Seeorang itu perlu meletakkan kedudukan budi itu sesuatu yang amat mulia di sisi mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang tinggi dan tidak boleh dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh itu manusia hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar.

4.      Manusia yang sentiasa mengenang budi orang lain.
Setiap individu perlu menghargai pertolongan orang lain walau sekecil mana budi tersebut. Rangkap puisi ketiga menggambarkan betapa seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.

5.      Manusia yang percaya dengan hari pembalasan.
Kebanyakan pantun budi mengaitkan balasan budi itu tertangguh sehingga seseorang itu meninggal dunia sebagaimana rangkap pertama dan rangkap kedua pantun. Manusia percaya bahawa berbudi adalah amalan mulia yang mendapat balasan pahala di sisi Allah. Kita perlu ikhlas dengan pertolongan yang telah diberikan dan jangan terlalu mengharapkan balasan di dunia sahaja.




Gambaran masyarakat dalam pantun.

1.      Masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Melalui ketiga-tiga pembayang maksud pantun terdapat gambaran bahawa pencipta pantun ini tinggal dalam persekitaran tepi pantai dan lautan. Ini dapat digambarkan melalui pemilihan kata yang berkaitan dengan latar tempat berkenaan seperti “belayar”, “pulau Pandan”, ”tanjung”,  “kolek” dan gambaran suasana “air tenang” .

2.      Masyarakat petani dan nelayan.
Masyarakat melayu terdisional tidak boleh lari daripada menjalankan kegiatan bertani seperti menanam “pisang” dan sebagainya. Manakala bagi mereka yang tinggal di persisir pantai akan “belayar” dan menjalankan kegiatan nelayan.

3.      Masyarakat yang menggunakan jalan air sebagai pengangkutan.
Sistem pengangkutan tradisional yang paling mudah di kalangan masyarakat melayu zaman dahulu adalah melalui jalan air. Mereka akan menggunakan alatan yang sesuai ketika bergerak melalui jalan air. Penggunaan alat pelayaran, sampan dan kolek adalah sesuatu yang perlu pada waktu itu. Malah mereka perlu memahami keadaan yang sesuai ketika bergerak supaya selamat dalam perjalanan. Mereka perlu menunggu air yang tenang apabila menggunakan sampan kolek.

4.      Masyarakat yang saling tolong menolong.
Lumrah kehidupan orang yang hidup bermasyarakat adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. Orang yang  tidak mengamalkan hidup berbudi dan tolong menolong akan dianggap tidak bermasyarakat.

5.      Masyarakat yang sentiasa mengenang budi.
Masyarakat yang baik akan selalu mengenang budi walau budi itu kecil nilainya. Perkara tersebut termaktub dalam ketiga-tiga maksud pantun budi di atas. Malah mereka yang tahu erti budi akan menjunjung dan mengingati budi orang lain.

6.      Masyarakat yang mempercayai hari kemudian.
Mesyarakat melayu secara umumnya beragama Islam. Mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap hari kemudian atau disebut juga hari pembalasan. Mereka yakin seseuatu amal samada baik atau buruk akan mendapat pembalasan yang setimpal. Begitu juga amal berbudi kepada orang lain dipercayai akan mendapat balasan baik selepas meninggal dunia sekalipun tidak mendapat balasan di dunia.

Analisa karya secara umum.

Kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara satu sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang diamalkan setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja itu mungkin tidak akan selesai. Sebagai contoh dalam kegiatan membina sebuah rumah. Pembinaan rumah akan bermula daripada kegiatan menebang pokok, membelah, memahat sehingga mendirikannya tentu tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Semuanya memerlukan bantuan ahli masyarakat.

            Semua aktiviti yang memerlukan pertolongan pihak lain ini dianggap aktiviti yang tergolong sebagai perbuatan berbudi. Apabila manusia sudah menerima budi tentunya individu tersebut akan sentiasa terkenang budi, terhutang budi dan cuba untuk membalas budi. Mungkin pada masa yang lain, pihak yang sudah menerima budi tersebut akan cuba membalas budi mengikut kemampuan masing-masing. Bentuk pertolongan yang mereka akan lakukan mungkin dalam bidang yang lain pula. Kalau dahulunya mereka ditolong ketika membina rumah, mungkin pada masa yang lain balasan budi itu berbentuk pertolongan lain pula.

Oleh itu nilai budi tak mungkin sama dengan nilainya ketika budi seseorang itu diberi berbanding ketika pihak yang telah menerima budi itu membalas budi. Oleh itu nilai budi tidak boleh dibanding-bandingkan. Malah sekiranya dibandingkan akan menyebabkan ungkitan dan rasa tidak ikhlas. Nilai pertolongan ketika seseorang itu memerlukan sebenarnya amat tinggi nilainya. Contohnya seperti pertolongan ketika lemas di sungai, ketika lapar dan sebagainya. Seseorang itu mungkin sukar untuk menolong pihak yang telah berbudi pada peristiwa yang sama. Jika adapun mungkin wujud dalam bentuk pertolongan yang lain.

            Tegasnya budaya berbudi ini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu dan akan diamalkan sehingga sekarang. Sesiapa yang tidak mahu berbudi akan dianggap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli masyarakat tidak boleh hidup bersendirian seolah-olah tidak memerlukan rakan-rakan dan saudara mara. Oleh itu tema budi menjadi salah satu tema pantun masyarakat melayu zaman tradisional.


Contoh soalan

(a)    Nyatakan jenis puisi di atas dan jelaskan tiga ciri-ciri yang terdapat dalam puisi tersebut.                 [7]

Jenis puisi        : Puisi di atas ialah sejenis Pantun. Iaitu pantun empat kerat. Ia digolongkan sebagai pantun budi.

Ciri puisi          :

1.      Jumlah rangkap. Dibina dalam satu rangkap. Boleh difahami dengan mudah berdasarkan maksud pantun tersebut. Mampu berdiri sendiri untuk difahami dalam satu rangkap.

2.      Jumlah baris serangkap. Terdapat empat baris ayat dalam satu rangkap.

Pisang emas dibawa belayar,  ----------------baris 1
                Masak sebiji di atas peti, ---------baris 2
Hutang emas boleh dibayar,------------------baris 3
                Hutang budi dibawa mati.--------baris 4



3.      Jumlah perkataan sebaris

4.      Jumlah suku kata sebaris
5.      Pembayang maksud
6.      Maksud pantun.
7.      Jeda.



(b)   Bincangkan tiga gambaran masyarakat Melayu sebagaimana yang terdapat dalam puisi di atas.     [12]
Fakta 1: Masyarakat yang mengutamakan perbuatan berbudi.
Fakta 2: Masyarakat yang saling tolong menolong.
Fakta 3: Masyarakat yang mengenang budi.
Fakta 4: Masyarakat yang sering dalam pelayaran.
Fakta 5: Masyarakat yang mempercayai hari pembalasan.



(c)    Terangkan kesan puisi itu kepada diri anda.                                                                            [6]
Fakta 1: Rasa terhutang budi/mengenang budi.
Fakta 2: Rasa tanggungjawab.
Fakta 3: Rasa ingin berbudi. (dorongan)
Fakta 4: Percaya kepada hari kemudian/kematian/pembalasan.
Fakta 5: Yakin tentang kemuliaan berbudi.


Pantun Agama

Banyak hari antara hari,
            Tidak semulia hari Jumaat;
Banyak nabi antara nabi,
            Tidak semulia Nabi Muhammad.

Anak ayam turun sepuluh,
            Mati seekor tinggal Sembilan,
Bangun pagi sembahyang subuh,
            Minta ampun kepada Tuhan.

Gambaran masyarakat.

1.      Memuliakan nabi.
2.      Memuliakan hari jumaat
3.      Memelihara binatang ternakan sebagai aktiviti mencari rezeki.
4.      Taat kepada perintah Allah
5.      Rajin bangun awal pagi.
6.      Sentiasa memohon keampunan Allah.



Pantun Kasih Sayang

Dari mana pipit melayang,
            Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
            Dari mata turun ke hati.

Air dalam bertambah dalam,
            Hujan di hulu belumlah teduh;
Hati dendam bertambah dendam,
            Dendam dahulu belumlah sembuh.

Gambaran masyarakat.
1.      Tinggal di kawasan paya dan sawah padi.
2.      Masyarakat yang menanam padi. Kegiatan ekonomi ialah bertani.
3.      Pekerjaan seorang petani. Tanam padi.
4.      Masyarakat yang hidup berkasih sayang.
5.      Masyarakat yang tinggal di tepi sungai. Perkataan “air dalam” gambaran pasang surut dan hujan. Menjadi kerisauan orang yang tinggal di tepi sungai.
6.      Perkataan “hulu” pula menunjukkan mereka tinggal di hilir sungai. Apabila hujan turun di hulu, penduduk di kawasan hilir akan mendapat kesannya iaitu air semakin dalam. Mungkin boleh berlaku banjir.
7.      Rindu kepada kekasih kerana terpisah jauh. Mereka hidup sering berjauhan antara satu sama lain. Ini menunjukkan orang dahulu sering merantau kerana mencari rezeki. Kerinduan akan melanda hati kerana pertemuan yang sekejap belum mampu menghilangkan rindu.


Pantun Nasihat

Tanam bunga di dalam pasu,
            Bunga melati bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
            Kelak nanti binasa badan.

Burung tiung terbang tinggi,
            Burung merpati mencari sarang;
Kalau sombong meninggi diri,
            Ke mana pergi dibenci orang.

Gambaran Masyarakat

1.      Masyarakat yang suka bercucuk tanam. Termasuk jenis-jenis bunga menjadi satu budaya masyarakat melayu kerana tanaman tersebut menjadi lambang keindahan. Malah sering mengaitkan bunga dengan perempuan.

2.      Masyarakat yang suka kepada keindahan alam dan persekitaran. Mereka suka menghias halaman rumah dengan hiasan tumbuh-tumbuhan dari jenis pokok bunga.

3.      Masyarakat yang tidak suka perbuatan yang terlalu mengikut nafsu Masyarakat yang menyedari bahawa perbuatan mengikut hawa nafsu akan memusnahkan diri sendiri akhirnya. Ucapan pantun supaya jangan mengikut hawa nafsu merupakan nasihat yang mampu mencegah seseorang ahli masyarakat supaya jangan melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu menyesal di kemudian hari.

4.      Masyarakat yang tidak suka perbuatan sombong dan tinggi diri.
Perbuatan sombong adalah amalan yang tidak baik. Perbuatan itu mungkin menjerumuskan seseorang itu tidak bercampur gaul dengan masyarakat. Hidup ahli masyarakat tersebut akan diibaratkan seperti melukut di tepi gantang, ibarat kera sumbang dan ibarat katak di bawah tempurung. Ahli masyarakat lain akan salah tanggap dan sering memperkatakan keburukan rakan yang sombong itu. Hal ini akan menambahkan dosa dan konflik sesama ahli masyarakat.

5.      Masyarakat yang lebih bersifat positif.
Pantun di atas menunjukkan bahawa ahli masyarakat ketika itu tidak bersifat negatif. Mereka sentiasa bersifat positif sebagai ahli masyarakat dan cuba mengelakkan diri daripada cercaan dan umpatan. Salah satu cara mengelakkan diri daripada menjadi sasaran kebencian ahli masyarakat ialah tidak bersifat sombong dan berbangga diri. Anggota masyarakat hendaklah sering bercampur gaul dan mesra sesama anggota masyarakat dengan menghadirkan diri dalam aktiviti masyarakat seperti mesyuarat, kenduri, gotong-royong, bersukan dan lain-lain.
6.       


Ulasan tentang pembayang maksud

Rangkap pertama pembayang pantun wujud pada baris pertama yang mengungkapkan ayat berkaitan kegiatan masyarakat melayu yang suka menanam pokok hiasan. Pokok tersebut menjadi hiasan kerana pokok bunga itu ditanam di dalam sebuah pasu. Kesesuaian pembayang ini dilihat dari aspek rima akhir baris pantun sahaja iaitu perkataan “pasu” dapat di sesuaikan dengan perkataan “nafsu”. Kitan mungkin boleh menanam bunga di mana-mana tempat asalkan di atas tanah, tetapi mungkin kurang sesuai kerana ia mungkin tidak mampu menghias sesuatu tempat. Sedangkan menanam bunga di dalam sebuah pasu mampu menjadikan bunga yang ditanam itu menghiasa sesuatu tempat dan mudah alih sifatnya.

Rangkap kedua, pembayangnya ada dua baris. Kedua-dua baris memberikan senario kegiatan unggas iaitu burung tiong dan burung merpati. Kesesuaian burung tiong adalah mampu terbang tinggi sedangkan burung merpati lebih suka kepada kegiatan mencari sarang sahaja. Kegiatan burung tiong yang terbang tinggi mungkin sesuai dengan isu yang hendak dibawa dalam maksud pantun iaitu perbuatan sombong dan tinggi diri. Kadang-kadang sifat manusia yang mampu mencapai pencapaian yang tinggi akan menyebabkan seseorang itu terlalu berbangga diri sehingga dianggap sebagai orang yang sombong dan bongkak. Contohnya seperti sudah belajar tinggi, sudah kaya, lebih kuat, lebih berkuasa dan lain-lain lagi.

Sifat merpati pula yang sibuk dengan hal sendiri iaitu mencari sarang juga menyebabkan dirinya lalai dan terlalu bersifat individualistik. Jika dikaitkan dengan sifak manusia, orang yang hanya memikirkan hal diri sendiri tanpa memikirkan masalah orang lain boleh menyebabkan dirinya dianggap sombong. Jika hidup berjiran, mereka hanya pergi dan balik ke rumah semata-mata kerana mencari rezeki dan menyelesaikan urusan diri sendiri sahaja. Pada pandangan mereka, peduli apa dengan hal-hal orang lain termasuk hal-hal kejiranan. Mereka tidak ambil tahun masalah jiran-jiran dan mengabaikan kegiatan kemasyarakatan.


Ulasan tentang maksud pantun.

Dua rangkap pantun di atas merupakan larangan-larangan terhadap individu supaya menjauhkan diri dari sikap buruk atau tidak melakukan sesuatu sikap yang buruk.
           
Larangan pada rangkap pertama ialah jangan mengikut hawa nafsu. Jika bertindak mengikut nafsu mungkin akan menyebabkan diri kita terjerumus kepada akibat yang tidak baik.

Larangan kedua pula ialah menghindarkan diri dari sikap sombong. Perkataan yang lain yang mempunyai maksud yang sama ialah seperti bongkak dan tinggi diri. Pantun kedua ini seterusnya menyatakan akibat daipada perlakuan sombong. Perbuatan sombong dan bongkak akan menyebabkan seseorang itu dibenci oleh orang lain.



Gambaran masyarakat.









Pemikiran pantun

1.      Larangan terlalu mengikut hawa nafsu. Secara umumnya manusia memang mempunyai nafsu dan perlu memenuhi keperluan nafsu. Gambaran pantun di atas adalah nasihat supaya jangan terlalu mengikut hawa nafsu kerana perlakuan tersebut boleh menyebabkan satu akibat yang buruk. Contohnya seorang yang memerlukan makanan mungkin akan mendapat penyakit sekiranya makan berlebih-lebihan.

2.      Larangan berbuat sombong. Perbuatan sombong adalah satu perbuatan yang tidak disukai oleh orang lain. Perkara ini sangat diambil perhatian oleh ahli masyarakat melayu kerana amalan bertegur sapa dan mengambil berat adalah budaya masyarakat yang diamalkan sejak sekian lama dan berterusan.

Syair Ikan Terubuk (rujuk teks muka surat 7-10)

Syair Ikan Terubuk adalah sebuah kumpulan syair Melayu yang diciptakan pada abad ke-19, berupa media lisan tanpa diketahui siapa penciptanya. Terdiri dari 285 bait, karya besar yang menjadi masterpiece ini membentangkan kehidupan habitat ikan didalam air, baik air laut maupun air tawar secara lengkap. Uniknya, Syair Ikan Terubuk menjadi sangkakala mantra dalam upacara Semah Laut di Bengkalis, yaitu sebuah upacara mengundang ikan-ikan terubuk melalui cara supranatural, yang dilakukan secara turun-temurun.

Kisah dua kerajaan yang memerintah di persekitaran kawasan kerajaan air masin dan air tawar. Kerajaan air masin diwakili oleh ikan terubuk manakala kerajaan air tawar diwakili oleh ikan puyu-puyu.            Ikan terubuk dikatakan seolah-oleh ikan puaka yang berasal dari laut di Melaka. Perkataan “puaka” boleh dikaitkan dengan ancaman musuh dan perseteruan. Ikan terubuk sangat meminati ikan puyu-puyu. Namun ikan puyu-puyu tidak sedikitpun menyukai ikan terubuk. Ini dapat dilihat pada rangkap 2 dan 3;

            Mula dikarang ikan terubuk,
            Lalai memandang ikan di lubuk,
            Hari dan jantung bagai serbuk,
            Laksana kayu dimakan bubuk.

            Asal terubuk ikan puaka,
            Tempatnya konon di laut Melaka,
            Siang dan malam berhati duka,
            Sedikit tidak menaruh suka.


            Dendam rindu inginkan ikan puyu-puyu sangat mendalam dan terubuk sering merindu siang dan malam. Lalu terubuk sering menyeru dan memuja puyu-puyu.Sebagaimana rangkap ke 4 dan 5;

            Pagi petang duduk bercinta,
            Berendam dengan airnya mata,
            Kalbunya tidak menderita,
            Kerana mendengar khabar berita.

            Pertama mula terubuk merayu,
            Berbunyilah guruh mendayu-dayu,
            Senantiasa berhati sayu,
            Terkenangkan puteri ikan puyu-puyu.


Dikatakan bahawa ikan puyu-puyu itu sangat cantik dan sangat berbudi bahasa. Ini dapat dilihat pada rangkap 6;

            Puteri Puyu-puyu konon namanya,
            Di dalam kolam konon tempatnya,
            Cantik mejelis barang lakunya,
            Patutlah dengan budi bahasanya.

            Asal puyu-puyu dikatakan di Tanjung Padang. Ada pendapat mengatakan kawasan ini adalah di Pagar Ruyung Minangkabau di pulau Sumatera. Diceritakan juga gambaran rupa paras tuan puteri yang menyerupa puyu-puyu. Terubuk sangat tertarik dan sering memerhati keayuan wajah puyu-puyu;

            Kolamnya konon di Tanjung Padang,
            Di sanalah tempat Terubuk bertandang,
            Pinggangnya ramping dadanya bidang,
            Hancurlah hati terubuk memandang.

            Asal usul puyu dikatakan keturunan raja. Dikatakan dia mempunyai keupayaan memuja dan berdoa. Sebarang pinta dan doanya akan dimakbulkan demi mengelakkan ancaman terubuk.



Rangkap 10;

            Setelah hari hampirkan senja,
            Puteri bersiap hendak memuja,
            Jika sungguh asalku raja,
            Disampaikan Allah barang disaja.


Rangkap 13;
            Selang tidak berapa antara,
            Turunlah ribut dengan segera,
            Kilat dan petir tidak terkira,
            Datuk nenek turun dari udara.

            Puyu-puyu mendapat pertolongan berkat doanya yang telah dimakbulkan. Pertolongan tersebut telah menyelamatkan dirinya daripada ancaman terubuk yang sangat inginkan dirinya. Lalu berkat datuk neneknya menunaikan pertolongan dengan sepohon pokok pulai yang rendang.  Puyu dapat melompat keluar daripada kolam ke pucuk batang pulai. Maka terselamatlah puyu  daripada ikan terubuk. Dapat dibuktikan pada rangkap ke 14 da 15,

Rangkap 14;
            Membawa sepohon batangnya pulai,
            Datangnya dari Tanjung Balai,
            Eloknya tidaklah ternilai,
            Puteri melihat hairan terlalai.

Rangkap 15;
            Pulainya rendang dengan rampaknya,
            Di tengah kolah terdiri dianya,
            Sampailah waktu dengan janjinya,
            Puteri melompat ke atas pucuknya.

            Kehilangan puyu-puyu telah sampai kepada pengetahuan terubuk. Berita kehilangannya telah menyebabkan tuanku bersedih dan mengarahkan supaya segera mencari puyu-puyu. Hajat terubuk ingin bertemu puyu-puyu tidak kesampaian lalu kembalilah terubuk ke laut semula dalam keadaan kecewa sebagaimana rangkap 21;

            Terubuk berenang lalu ke laut,
            Sekalian ikan ramai yang mengikut,
            Hati di di dalam terlalu kusut,
            Bagaikan datang rasanya takut.


Pandangan sarwajagat (world views) syair ikan terubuk

1.      Dua kerajaan yang berbeza.
Berdasarkan latar sejarah penciptaan syair ini, kerajaan ikan terubuk dan ikan puyu ini adalah dua buah kerajaan yang berbeza latar tempatnya. Keinginan saling menakluk antara satu sama lain memang wujud. Malah dikatakan bahawa kerajaan ikan terubuk sangat berkuasa dan mampu mengalahkan kerajaan ikan puyu. Bagi pihak yang lemah, adalah lebih baik membuat tipu muslihat dan mengelakkan diri dari berperang dengan pihak yang lebih kuat.

2.      Perbezaan budaya dan pandangan hidup.
Syair ini juga memberi gambaran secara simbolik tentang kehidupan manusia yang berbeza budaya dan pegangan hidup. Perbezaan budaya dan pegangan hidup ini mungkin tidak boleh diterima oleh pihak yang lain. Contohnya dalam soal makan dan minum yang halal bagi umat Islam, mungkin akan menjadi masalah besar bagi mereka untuk hidup dalam kalangan orang yang bukan Islam. Latar budaya hidup ikan terubuk sudah tentu berbeza berbanding kehidupan ikan puyu. Oleh itu ikan terubuk tidak boleh memaksa ikan puyu untuk hudup bersamanya kerana ikan puyu tidak mungkin boleh menerima cara hidup masyarakat terubuk.

3.      Perbezaan prinsip dan pegangan hidup
Kadang-kadang pegangan hidup yang bebeza tidak memungkinkan kesatuan pendapat dan idea. Ahli masyarakat akan saling berbeza pendapat dan saling membantah antara satu sama lain. Adalah lebih baik ikatan kesatuan itu tidak diwujudkan kerana mungkin akan menyebabkan persengketaan yang berpanjangan. Kehidupan ikan terubuk dan ikan puyu amat berbeza latar tempat, suasana dan budaya hidupnya. Maka adalah lebih baik cinta kasih sayang yang berbeza antara dua latar belakang ini tidak direalisasikan.

4.      Cinta tidak kesampaian.
Apabila peristiwa di dalam syair di atas dikaitkan dengan kehidupan manusia biasa, ia boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia yang sedang bercinta. Terdapat cita-cita inginkan seorang gadis atau seorang teruna yang tersemat di dalam hati. Mungkin harapan cinta tidak dapat dipenuhi kerana secara realitinya mereka tidak mungkin bersatu. Terdapat halangan besar yang mungkin menghalang jodoh mereka. Mungkin juga pihak yang dicintai tidak sanggup menerima cinta yang dihajatkan lantaran perbezaaan darjat dan sebagainya. Oleh itu cinta tidak kesampaian dan perpisahan berlaku.


Nilai kepercayaan masyarakat

1.      Kepercayaan Anamisme. Masyarakat melayu dahulu sangat mempercayai roh-roh leluhur mereka. Mereka sering memuja semangat roh nenek moyang mereka apabila mereka menghadapi masalah hidup. Contohnya ayat “Dengan berkat nenek moyangku” dalam rangkap ...............

2.      Kepercayaan Hindu. Selepas anamisme, masyarakat melayu mengamalkan ajaran hindu. Oleh itu kepercayaan terhadap dewa adalah salah satu bentuk kepercayaan yang penting bagi mereka. Dewa selalunya menjadi pengantara bagi memohon doa dan permintaan mereka agar dimakbulkan. Contohnya ayat “Disampaikan dewata barang pintaku”

3.      Kepercayaan agama Islam. Kepercayaan masayarakat yang diterjemahkan dalam syair ini adalah setelah kedatangan Islam. Oleh itu, walaupun terdapat unsur kepercayaan lain wujud dalam syair ini namun keutamaannya adalah usur-unsur Islam. Hal ini dapat dilihat melalui pembukaan syair ini telah memulakannya dengan menyebut nama Allah dan bismillah. Contohnya “bismillah itu permulaan kalam”. “Dengan nama Allah khalik al-alam. Ia dikenali juga dengan isilah “Doksologi”. Kemudian di tengah syair ada menyebut “Ya Ilahi Ya Tuhanku,”.  Semua perkara ini menunjukkan bahawa kepercayaan Islam adalah menjadi teras gambaran masyarakat melayu.

No comments:

Post a Comment