Wednesday 8 August 2012

Ulasan Permata sastera Melayu ( GURINDAM )


Gurindam
Norma-norma yang Baik dalam Perhubungan Suami Isteri

Isteri cantik permainan mata,
Isteri budiman tajuk mahkota.


Memilih calon isteri yang sempurna bukan dinilai dari aspek kecantikan wajah. Kecantikan adalah sesuatu palsu pada pandangan mata. Kecantikan isteri juga bersifat sementara kerana kecantikan akan hilang mengikut masa. Isteri yang budiman adalah lebih sempurna kerana mampu menjadi suri rumah yang baik. Isteri budiman mempunyai kepimpinan yang tinggi untuk zuriatnya. Kedudukan isteri budiman berada di tempat yang tinggi sebagaimana kedudukan mahkota.


Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.


Perempuan yang dianggap baik bukan hanya dinilai pada kecantikan di dunia nyata sahaja. Namun yang paling penting ialah memilih perempuan dari aspek agama iaitu keimanannya. Kemuliaan seorang wanita adalah diukur dari sudut keimanan yang dimilikinya.


Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Hidup berumahtangga perlulah sependapat. Iaitu mempunyai cita dan pandangan yang sama. Pada waktu yang sama mestilah menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan pertelingkahan serta perselisihan pendapat.

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Seorang suami adalah tempat bergantung harap, sebagai pelindung dan memberi nafkah. Kebergantungan isteri terhadap suami adalah penuh dan suamilah yang menentukan kebahagiaan hidup isterinya.

Jika suami tak berhati lurus,
 Isterinya kelak menjadi kurus.

Suami mesti jujur supaya isteri tidak menanggung siksa kerana memendam perasaan.

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami mempunyai kuasa dan tanggungjawab besar. Namun kekuasaannya tidak mungkin dapat digunakan jika dia hidup bersendirian tanpa teman.


Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.


Hidup berumahtangga adalah ibarat dua orang dalam satu tubuh. Maka mereka diharapkan sentiasa bermuafakat di antara keduanya sepanjang kehidupan berumah tangga. Suami dan isteri perlu berpakat dan mencapai persetujuan dalam segala tindakan. Contohnya mengurus rumah tangga, menjaga anak-anak yang telah mereka lahirkan sehigga anak-anak itu dewasa.



Gurindam Taat Setia Rakyat Kepada Raja

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.



Rangkap 1: Raja perlu berkerjasama dengan pegawai negeri terutamanya perdana menteri. Kesepakatan di antara mereka akan membentuk sebuah pemerintahan negara yang kukuh dan kuat. Negara mampu dipertahankan daripada serangan musuh negera.

Rangkap 2: Raja perlu pandai membuat keputusan dan persetujuan di atas sebarang rancangan pembangunan Negara.

Rangkap 3: Raja perlulah menghukum rakyat yang bersalah dengan hukuman yang adil. Seseorang raja yang adil akan mendapat petunjuk dari Allah swt.

Rangkap 4: Hendaklah mengasihi orang yang mempunyai ilmu. Mengasihi orang berilmu akan membawa kepada keberkatan hidup kerana mendapat kasih sayang Allah.

Rangkap 5: Hendaklah menghormati orang yang bijaksana kerana perbuatan tersebut akan membantu kita membezakan perkara-perkara baik dan buruk.

No comments:

Post a Comment