Wednesday, 8 August 2012

Hikayat Hang Tuah


Hikayat Hang Tuah Bab VII

Perkahwinan Radin Mas Ayu 
dengan Raja Melaka (Sang Maniaka)


Sinopsis

Latar tempat di Majapahit. Radin Mas Ayu adalah anak kepada Betara Majapahit. Upacara perkahwinan dimulakan dengan majlis berjaga-jaga. Hang Tuah pada ketika ini masih berjawatan seorang Bentara sahaja. Hantaran belanja pula adalah emas tujuh bahara, kain tujuh peti dan perempuan dayang 70 orang. Sultan Melaka pun mengadap Betara Majapahit. Dalam majlis tersebut Hang Tuah telah dicabar berlawan dengan perajurit Majapahit. Hang Tuah telah menunjukkan kehebatannya memarang mata tombak dan membunuh pencabarnya. Semua halangan terhadap hang Tuah adalah rancangan Patih Gajah Mada.

Kemdian datang pula Taming Sari datang mengamuk dan menikam ramai orang. Hang Tuah berani berhadapan dengan tentangan Taming Sari ketika pihak lain termasuk Patih Gajah Mada melarikan diri. Pada awalnya Taming Sari sukar dikalahkan kerana tidak lut diparang oleh Hang Tuah. Kekuatan Taming Sari ada pada kerisnya. Hang Tuah pun membuat muslihat agar mereka berdua bersama-sama mengamuk Betara Majapahit. Hang Tuah mengajak Taming Sari bertukar keris. Apabila sahaja Hang Tuah mendapat Keris Taming Sari, beliau telah memekis dan berlawan semula dengan Taming Sari. Hang Tuah telah berjaya mengalahkan Taming Sari dan dianugerahkan keris yang dimiliki oleh Taming Sari. Hang Tuah juga diberi gelaran Laksamana oleh Ratu Majapahit serta   anugerah Sungai Jemaja. 

1. Mengenal pasti jenis dan ciri-ciri prosa tradisional terpilih.

Jenis karya di atas adalah sejenis karya sastera epik seperti definisi berikut:

Epik adalah sebuah genre puisi naratif yang luas, dicirikan dengan kepanjangannya, pelbagai latar, sejumlah watak-watak yang besar dan berat serta jangka masa yang lama. Biasanya melibatkan cerita-cerita zaman kuno ratusan tahun lampau dan kadang-kala sukar untuk difahami kerana ada maksud tersurat dan maksud tersirat. Ia mengemukakan watak wira yang agung dalam satu rentetan peristiwa yang meliputi mitos, lagenda, dongeng dan sejarah. Epik biasanya dianggap penting bagi perjalanan sejarah sesebuah bangsa, dan merupakan sumber inspirasi kepada bangsa yang melahirkan epik tersebut.[1]
Dasar penceritaan epik tertumpu kepada kepahlawanan seseorang wira. Sebagai seorang wira, dia perlu mempunyai sifat-sifat dan perlakuan fizikal yang berbentuk kepahlawanan. Wira harus bersedia menghadapi cabaran dan dapat membuktikan kepahlawanannya. Masyarakat pula dapat menerima dan mengakui kepahlawanan wira tersebut sebagai yang terunggul pada zamannya.



Ciri-ciri epik adalah:

1. Pahlawan tampil sebagai susuk tubuh yang mengkagumkan. Hang Tuah mampu mengalahkan pencabarnya seorang diri dan memenangi pertarungan tersebut. Malah Hang Tuah sangat bijaksana kerana mampu memperdaya Taming Sari agar mereka saling bertukar keris.

2. Latar penceritaan pahlawan adalah luas, universal dan berlaku di sebarang tempat. Asal Hang Tuah daripada Melaka sedangkan penceritaan di atas adalah di Majapahit.

3. Keberanian tokoh dijadikan bahagian penting dalam keseluruhan tema.
Hang Tuah digambarkan sangat berani menentang musuh seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan yang lain.

4. Ada keterlibatan unsur supernatural (kuasa luarbiasa). Hang Tuah tidak cedera walau sedikitpun dalam pertarungannya. Perkara ini adalah suatu yang luar biasa.

5. Tindakan pahlawan bersifat objektif. Watak epik dilukiskan secara tidak langsung melalui dialog dan aksinya sahaja...seperti Hang Tuah diceritakan berjaya mengelak tikaman, melompat ke kiri dan kanan. Hal ini menggambarkan ketangkasan watak Hang Tuah.




2. Menyatakan kepentingan karya dalam konteks sarwajagat (world view) masyarakat melayu tradisional.

Sekiranya kita mengkaji sikap dan sifat Hang Tuah, beliau boleh dijadikan contoh kepada setiap individu manusia seperti berikut:

2.1 Perlu bersikap berani
2.2 Manusia perlu bijaksana.
2.3 Taat setia kepada ketua.
2.4 Menghargai jasa dan sumbangan pihak lain

2.5 Sentiasa berwaspada.
Perlu bersikap waspada terutama dengan pihak yang tidak kita kenali saperti Patih Gajah Mada. Apabila kita berada di perantuan, kita perlu sentiasa berhati-hati.

2.6 Hormat menghormati.
Sebarang tindakan yang dilakukan Hang Tuah di Majapahit mendapat restu pemerintah di sana. Sultan Melaka dan Hang Tuah sentiasa sedar bahawa mereka berada di negara orang (Majapahit). 

2.7 Menghormati tetamu.

2.8  Gambaran adat dan budaya masyarakat.
Majlis perkahwinan antara Raja Melaka dengan Radin Emas Ayu digambarkan mempunyai adat-adat tertentu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Di antara adat perkahwinan itu ialah seperti adat berjaga-jaga, hantaran mas kahwin, berarak dan mengadap raja.

********sekadar beberapa pandangan yang boleh difikir bersama.





3. Menjelaskan watak dan perwatakan

Watak Hang Tuah.

Seorang rakyat Melaka, pengiring kepada Sultan Melaka. Mendapat Gelaran Laksamana apabila berjaya mengalahkan Taming Sari. Ada lima sahabat.

Perwatakan Hang Tuah
     1. Taat setia
     2. Berani
     4. Bijaksana
     5. Tangkas bermain senjata.
     6. Sangat menghormati raja.

**** perwatakan di atas perlu dihuraikan.

.

4. Menyatakan aspek estetik dalam karya kajian.

4.1 Penggunaan bahasa yang indah sesuai dengan zaman.
4.2 Ketepatan pemilihan kata.
4.3


Hikayat Hang Tuah Bab XIX

Utusan ke Benua Keling

Krisna Rayan (raja benua Keling) menyambut surat daripada Sultan Melaka (Sang Maniaka). Hang Tuah selaku utusan raja telah sampai di negeri Bijaya Nagaram. Latar tempat negeri berkenaan sangat indah dan unik. Surat raja Melaka sangat dimuliakan kerana raja Melaka keturunan melayu. Surat sultan pun dibaca dan Krisna Rayan pun bertanya tentang utusan raja yang bernama Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah yang berkebolehan dalam bahasa Nagaram telah menjawab dengan baik. Semua orang kagum dengan kebolehan Hang Tuah. Hang Tuah telah mendapat layanan yang sangat istimewa daripada raja benua Keling itu. Kemudian Hang Tuah telah dicabar untuk menaiki kuda teji dan beliau telah berjaya menunggang kuda tersebut.

Cerpen Usia Emas


Cerpen Usia Emas
Usia emas bukan satu anugerah tetapi satu pinjaman. Usah berbangga kerananya. Hargailah orang tua yang telah menjaga dan mendidik kita. Akhirnya kita perlu menerima hakikat bahawa ajal akan sampai juga akhirnya. Usia emas sememangnya hanya menunggu masa ajal kita kan sampai kerana usaia nabi Muhammad hanya sekitar 62 tahun sahaja.
                                                                                           
Mitos Secekak Kertas Tisu
Wang bukan segala-galanya. Lantaran wang manusia boleh porak peranda. Lebih-lebih lagi apabila nilai wang jatuh yang menyebabkan harga barangan terlalu mahal. Wang yang banyak tidak mampu memiliki sejumlah barangan yang banyak dan tinggi nilainya. Manusia boleh hilang pegangan akibat mempunyai  masalah kewangan. Sejarah wang adalah timbul kerana kononnya ada revolusi perindustrian. Malah sebelum iaitu asalnya diperbuat daripada emas dan perak.

Ulasan Permata sastera Melayu ( MANTERA )


Mantera

7.1 Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

Mantera : dikenali sebagai jampi, serapah, tawar, sembur, cuca, puja, seru dan tangkal. Genre ini dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti bomoh dan pawing secara eksklusif. Apabila dituturkan, manter dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib dan konotasi magis untuk tujuan perubatan seperti untuk menyembuhkan penyakit (Harun Mat Piah, 1989).

Bentuk Mantera : Puisi bebas.
Bahasa Mantera : bukan seweang-wenang dituturkan. Bahasanya dianggap keramat dan tabu.
Mantera diturunkan kepada orang-orang yang dipercayai dan boleh menggantikan mereka dalam bidang perbomohan. Pawang atau bomoh ini merepakan orang perantaraan antara manusia dan kuasa ghaib dan dipercayai memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Empat tujuan mantera dibaca:
1.      Perubatan
2.      Pakaian diri
3.      Pekerjaan
4.      Adat istiadat

Ulasan Permata sastera Melayu ( TEROMBA )


Teromba

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.

Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.

Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.

Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.

Ke darat Adat Perpatih,
Ke laut Adat Temenggung.

Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.

Adat bersendi hokum,
Hukum bersendi Kitab Allah

(hlm. 15)

Teromba : merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat.

Ulasan Permata sastera Melayu ( TALIBUN )


Talibun

Talibun Keindahan dan kemakmuran Negeri

Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada  besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh di tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.



Maksud talibun: Harun mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tantang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) di kalangan masyarakat Minangkabau.

Menurut Mohd Taib Osman (1979) puisi talibun memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberi dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi yang seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing.


Talibun di atas memaparkan tentang keindahan sesebuah negeri bernama Teluk Bidung Kota Lama. Keindahan tersebut dilihat dari aspek persekitaran dan sempadan yang ada. Keadaan kawasan negeri mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan tempat lain. Perkataan medan dan rantau boleh diertikan sebagai kawasan dan persempadanan bagi sesebuah negeri yang diperintah.

Tebing pula dilihat indah bagai diraut menambah keindahan pemerian sesebuah negeri kerana tercipta sebegitu rupa. Tebing juga boleh bermaksud kawasan yang boleh menjadi pertahanan sesebuah negeri. Disebut juga tentang sifat objek yang besar seperti batu dan objek yang paling kecil seperti pasir.

Batu menggambarkan objek-objek yang berguna untuk dimanfaatkan bagi mendapatkan sumber negeri. Kegunaannya adalah pelbagai perkara seperti boleh digunakan untuk melontar sesuatu objek atau boleh juga menjadi peluru/senjata untuk menumpaskan musuh. Pada masa yang lain  batu juga boleh berfungsi untuk kegunaan lain.

Balam dalam puisi tersebut boleh ditafsirkan sejenis pokok kayu. Balam berfungsi sebagai bahan yang menjadi sasaran batu. Sekiranya batu gagal mencapai sasarannya, ia masih tetap berguna apabila jatuh ke tanah semula. Mungkin sekurang-kurangnya menjadikan tanah yang ada diliputi oleh batu-batan.

Perkataan ibu ayam memberi maksud ketua negeri yang sering berdoa akan keselamatan penduduk negeri daripada ancaman musuh. Manakala helang menggambarkan ancaman yang mungkin dihadapi oleh penduduk negeri. Punai tanah pula ialah penyelamat penduduk negeri yang mampu menghalang serangan helang yang ganas.

Hasil negeri makmur diibaratkan seperti pokok kundur dan labu. Walaupun pokok tersebut kecil tetapi menghasilkan buah yang banyak. Ini menggambarkan bahawa sesebuah negeri yang makmur itu ialah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang banyak.

Mencari rezeki yang di negeri yang makmur boleh didapati di mana-mana tempat samada di darat maupun di lautan. Malah hasil ternakan begitu banyak termasuk lembu dan kerbau.

Sumber-sumber persekitaran secara semula jadi begitu banyak di hutan. Suasana persekitaran dalam negeri tersebut juga begitu nyaman dan dingin sesuai dengan keindahan negeri.

Ulasan Permata sastera Melayu ( GURINDAM )


Gurindam
Norma-norma yang Baik dalam Perhubungan Suami Isteri

Isteri cantik permainan mata,
Isteri budiman tajuk mahkota.


Memilih calon isteri yang sempurna bukan dinilai dari aspek kecantikan wajah. Kecantikan adalah sesuatu palsu pada pandangan mata. Kecantikan isteri juga bersifat sementara kerana kecantikan akan hilang mengikut masa. Isteri yang budiman adalah lebih sempurna kerana mampu menjadi suri rumah yang baik. Isteri budiman mempunyai kepimpinan yang tinggi untuk zuriatnya. Kedudukan isteri budiman berada di tempat yang tinggi sebagaimana kedudukan mahkota.


Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.


Perempuan yang dianggap baik bukan hanya dinilai pada kecantikan di dunia nyata sahaja. Namun yang paling penting ialah memilih perempuan dari aspek agama iaitu keimanannya. Kemuliaan seorang wanita adalah diukur dari sudut keimanan yang dimilikinya.


Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Hidup berumahtangga perlulah sependapat. Iaitu mempunyai cita dan pandangan yang sama. Pada waktu yang sama mestilah menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan pertelingkahan serta perselisihan pendapat.

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Seorang suami adalah tempat bergantung harap, sebagai pelindung dan memberi nafkah. Kebergantungan isteri terhadap suami adalah penuh dan suamilah yang menentukan kebahagiaan hidup isterinya.

Jika suami tak berhati lurus,
 Isterinya kelak menjadi kurus.

Suami mesti jujur supaya isteri tidak menanggung siksa kerana memendam perasaan.

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami mempunyai kuasa dan tanggungjawab besar. Namun kekuasaannya tidak mungkin dapat digunakan jika dia hidup bersendirian tanpa teman.


Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.


Hidup berumahtangga adalah ibarat dua orang dalam satu tubuh. Maka mereka diharapkan sentiasa bermuafakat di antara keduanya sepanjang kehidupan berumah tangga. Suami dan isteri perlu berpakat dan mencapai persetujuan dalam segala tindakan. Contohnya mengurus rumah tangga, menjaga anak-anak yang telah mereka lahirkan sehigga anak-anak itu dewasa.



Gurindam Taat Setia Rakyat Kepada Raja

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.



Rangkap 1: Raja perlu berkerjasama dengan pegawai negeri terutamanya perdana menteri. Kesepakatan di antara mereka akan membentuk sebuah pemerintahan negara yang kukuh dan kuat. Negara mampu dipertahankan daripada serangan musuh negera.

Rangkap 2: Raja perlu pandai membuat keputusan dan persetujuan di atas sebarang rancangan pembangunan Negara.

Rangkap 3: Raja perlulah menghukum rakyat yang bersalah dengan hukuman yang adil. Seseorang raja yang adil akan mendapat petunjuk dari Allah swt.

Rangkap 4: Hendaklah mengasihi orang yang mempunyai ilmu. Mengasihi orang berilmu akan membawa kepada keberkatan hidup kerana mendapat kasih sayang Allah.

Rangkap 5: Hendaklah menghormati orang yang bijaksana kerana perbuatan tersebut akan membantu kita membezakan perkara-perkara baik dan buruk.